JIBRIL MENGKABARKAN
Daripada Ka’ab Bin Ujrah r.a., beliau berkata bahawa
Rasulullah s.a.w. bersabda, “Hadirlah ke mimbar.” Maka kami semua pun hadir.
Apabila beliau naik satu anak tangga mimbar, beliau berkata,
“amin” dan apabila naik anak tangga yang kedua, beliau berkata “amin” dan
apabila beliau naik anak tangga yang ketiga baginda berkata “amin.”
Apabila beliau turun, kami telah bertanya, “Ya Rasulullah!
Hari ini sesungguhnya kami telah mendengar dari Tuan sesuatu yang belum pernah
kami dengar.”
Beliau bersabda, “Sesungguhnya Jibril telah muncul kepadaku
dan berkata : Binasalah dia yang
mendapati Ramadhan tetapi belum juga diampunkan. Maka aku berkata, amin.”
“Apabila aku naik anak tangga yang kedua dia berkata : Binasalah dia yang apabila engkau
disebutkan didepannya, tidak pula dia menselawatimu. Maka aku berkata, amin.”
“Apabila aku naik anak tangga yang ketiga dia berkata : Binasalah dia yang mendapati kedua-dua ibu
bapanya atau salah seorang darinya telah tua tetapi mereka tidak menjadi sebab
untuk dia masuk ke dalam syurga. Aku berkata “amin.”[Riwayat Hakim dan Ibnu
Hibban di dalam sahihnya]
Pelajaran Hadits
tersebut:
1. Bersegeralah
bertaubat meminta keampunan daripada Allah SWT dan berazam untuk tidak
mengulangi dosa-dosa yang telah dilakukan itu lagi. Sesungguhnya Allah itu Maha
Pemurah, lagi Maha Pengampun. Tiada dosa dan kesalahan yang tidak akan
diampunkan-Nya, melainkan perbuatan syirik kepada-Nya. Oleh itu, janganlah
sesekali kita berasa sedih dan berputus asa terhadap-Nya. Selagi nyawa
dikandung badan, selagi itulah pintu taubat masih terbuka seluas-luasnya. Sabda
Nabi SAW, ertinya:
“Demi nyawaku di tangan Allah, sekiranya kamu (manusia) tidak
melakukan dosa, nescaya Allah akan melenyapkan kamu dan mendatangkan satu kaum
lain yang berdosa lalu mereka menyesal dan meminta keampunan Allah, kemudian
Allah akan mengampunkan mereka” [Riwayat Muslim, no 2749, 4/2106]
2. Perbanyakkanlah
bershalawat ke atas junjungan mulia, Rasulullah SAW terutamanya setiap kali nama baginda SAW disebut. Firman
Allah SWT yang acapkali dilafazkan oleh para khatib di masjid-masjid ketika
khutbah Jumaat;ahzab56
“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat
untuk Nabi. Hai orang-orang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan
ucapkanlah salam penghormatan kepadanya. [al-Ahzab: 56]
Diriwayatkan bahawa makna shalawat Allah kepada Nabi adalah
pujian atas beliau di hadapan para malaikat-Nya, sedang selawat malaikat
bererti mendoakan manakala selawat umatnya bererti permohonan ampun untuknya.
(Demikian seperti disebutkan al-Bukhari dari Abul Aisyah).
Antara dalil-dalil lain yang berkaitan dengan keutamaan
amalan bershalawat ke atas Rasulullah SAW:
Sabda Nabi S.A.W “ Dari Ibnu Mas’ud r.a. bahawa Rasulullah
s.a.w bersabda : Orang yang terdekat denganku pada hari kiamat ialah orang yang
paling banyak bershalawat kepadaku.” ( Hadis Riwayat At-Trimidzi )
Sabda Nabi s.a.w : “ Bershalawat atas para Nabi Allah dan
utusan-Nya sebagaimana kamu berselawat kepadaku kerana mereka itu sama
diutuskan sebagaimana aku diutus . “ (Hadis Riwayat Ahmad & Al-Khatib )
Sabda Nabi s.a.w : “ Dari Abu Hurairah r.a berkata :
Rasulullah s.a.w bersabda:Janganlah kamu jadikan kuburku sebagai tempat
perayaan dan bershalawatlah kepadaku , maka sesungguhnya bacaan selawatmu itu
akan sampai kepadaku dimana sahaja kamu berada . “ ( Hadis Riwayat Abu Daud )
Sabda Nabi s.a.w : “ Tiada dari seseorang yang mengucapkan
salam kepadaku melainkan Allah menerima ruhku sehingga aku menjawab salam
kepadanya. “ ( Hadis Riwayat Abu Daud )
3. Berbaktilah kepada
kedua-dua ibu bapa kita sebelum terlewat. Hendaklah kita sentiasa mengambil
berat dan menjaga hati mereka lebih-lebih lagi tatkala usia mereka semakin
lanjut. Jangan sesekali kita berkasar terhadap mereka, kerana sesungguhnya
tiada suatupun yang dapat kita lakukan untuk membalas jasa-jasa yang telah
mereka taburkan ke atas kita. Hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya. Wa
iyazubillah, jangan sesekali kita menderhaka kepada kedua-dua orang tua kita.
Firman Allah SWT;al-isra23al-isra24
“Dan telah memutuskan Tuhanmu supaya janganlah kalian
menyembah selain Dia, dan hendaklah kalian berbuat baik kepada ibu bapa kalian
dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang daripada keduanya sampai berumur
lanjut dalam pemeliharaanmu atau kedua-duanya, maka sekali-kali janganlan
engkau mengatakan “ah!” kepada kedua-duanya dan janganlah membentak mereka
dan ucapkanlah kepada mereka perkataan
yang mulia (baik dan sopan). Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua
dengan penuh kesayangan, dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka keduanya
sebagaimana mereka berdua mendidik aku ketika kecil” . [al-Isra`: 23-24]
BY ABI ANWAR.24/6/2014
Tidak ada komentar:
Posting Komentar